Tuesday, October 8, 2013

Kekeliruan Jonker Walk

boleh juga baca:  Apa itu Jonker Walk

Saya percaya isu ini menjadi satu lipatan sejarah dalam ingatan setiap orang yang hidupnya mempunyai kaitan dengan kawasan tersebut.

Malah, ramai juga orang yang tidak faham antara apakah itu penutupan Jonker Walk dengan pembukaan Jonker Walk. Kemungkinan juga rakyat Melaka sudah memahami akan erti kesesakan lalulintas yang teruk di kawasan Banda Hilir pada hujung minggu. Tetapi ramai juga yang tidak tahu dan tidak ambil kisah.

Apabila Datuk Idris Harun mengatakan bahawa Jonker Walk itu akan ditutup bagi memberi ruang kepada aliran trafik, maka kenyataan tersebut telah mencetuskan polemik yang begitu hebat.  Sebenarnya ramai orang yang tidak faham.

Imej yang nyata jelas di fikiran ramai orang ialah kawasan Jonker Walk itu ditutup terus, semua peniaga di situ diarahkan berpindah. Ianya satu fahaman sempit.  Bertambah lagi ramai penduduk situ percaya apabila pihak DAP membuat bantahan kecil berada di atas pentas, mengadakan ceramah, 'save jonker walk'.

Sebenarnya apa yang dibincang pada peringkat exco kerajaan negeri adalah bukannya kawasan Jonker itu akan ditutup tetapi yang ingin ditutup adalah perkataan 'Walk' itu atau bahasa senang adalah ditiadakan aktiviti pasar malam aka pasar budaya pada setiap hujung minggu (Jumaat & Sabtu:  6pm - 12pm dan Ahad: 11am - 12pm) kerana dalam jangkamasa tersebut, kawasan tersebut ditutup kepada lalulintas.  Makna kata sebarang jenis kenderaan tidak boleh melalui kawasan tersebut.  Saya boleh bagi satu rumus iaitu:

Jonker Walk = [jalan raya di kawasan Jonker ditutup kepada lalulintas pada setiap Jumaat, Sabtu, Ahad] + [aktiviti berniaga di tengah2 jalan raya hingga larut malam]

Maka bila dikatakan hapuskan atau tutup Jonker Walk = [buka semula jalanraya kepada lalulintas pada Jumaat/Sabtu/Ahad] + [tiada lagi berniaga di tengah2 jalan raya]

Ianya mudah. Jangan dipolitikkan atau disensasikan.

Sebelum tahun 2000 tiada istilah Jonker Walk. Yang ada hanyalah Jalan Jonker (Jonker Street).  Hanya pada 2000 itulah, kerajaan negeri memperkenalkan Jonker Walk, bermakna berjalan-jalan dan bersiar-siar di kawasan Jonker pada hujung minggu dengan berjalan kaki.  Maka, pada 2002, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.8 juta bagi menaiktaraf laluan pejalan kaki, membayar pampasan dan mencantikkan landskap di kawasan tersebut.  Bagi mempopularkan jenama Jonker Walk, jalan raya di kawasan Jalan Jonker dan sekitarnya ditutup kepada lalulintas pada setiap hujung minggu.

Maka, usaha tersebut menyebabkan jaringan jalan raya untuk kenderaan sudah semakin terhad.  Sudahlah kebanyakan jaringan jalan raya di sekitar Bandar Melaka itu adalah jalan sehala, maka sudah tentulah keadaan ini menyebabkan betapa banyaknya kenderaan yang terpaksa mengadakan satu pusingan yang besar untuk keluar dari kawasan Bandar Melaka.  Jumlah kenderaan yang semakin meningkat memasuki kawasan bandar menyebabkan kesesakan lalulintas semakin teruk.  Orang ramai menjadi resah dan mula membuat aduan.  Namun aduan ini terkumpul dan tersimpan selama 5 tahun tanpa tindakan.

Atas faktor inilah menyebabkan tercetusnya idea untuk menutup aktiviti di kawasan Jonker itu. Secara mudah ianya merujuk kepada Jonker Walk itu menyusahkan orang ramai pada hujung minggu kerana tersangkut dalam traffic jam.  Walaupun Jonker Walk itu dikatakan ditutup, tetatpi aktiviti di Jalan Jonker itu tetap beroperasi seperti biasa pada sebelah siang dan malam. Cuma, yang tidak mahu diadakan adalah adalah perniagaan pasar malam di tengah-tengah jalan raya pada hujung minggu.  Peniaga2 pasar malam masih boleh berniaga asalkan tidak menghalang lalulintas. Mereka kata berniaga di mana? Jawapan:  Di mana-mana sahaja lah.  Kerana mereka hanya tunjuk muka pada hujung minggu, jadi hari-hari yang lain berniaga di mana? Maka, berniaga sahaja di tempat yang biasa mereka berniaga.  

Adakah peniaga ini melibatkan peniaga2 sedia ada yang menghuni kawasan Jonker? Jawapan:  Tidak. 

Adakah terdapat rungutan daripada penghuni kawasan Jonker berkenaan aktiviti hujung minggu yang bising ini? Jawapan: Ya.

Adakah imej Jonker Walk itu terjejas kerana ianya dibuka pada lalulintas pada hujung minggu? Jawapan: Tidak.  Walaupun pada hujung minggu kawasan jalan raya di Jalan Jonker itu dibuka kepada lalulintas, premis perniagaan tetap juga kekal berfungsi.  Apabila hari siang, walaupun kawasan tersebut sibuk dengan lalulintas, masih lagi ramai pelawat yang datang mengunjungi kawasan itu.

Berikut adalah sedikit karangan saya yang lebih bersifat akademik:

Pada setiap hujung minggu kawasan Jonker Street ditutup kepada trafik bagi membolehkan pelawat bersiar-siar di sepanjang jalan untuk makan atau membeli belah.  Walau bagaimanapun, penutupan ini telah mengakibatkan kesesakan lalulintas yang serius.  Datuk Idris Haron, Ketua Menteri Melaka menyatakan bahawa sejak lima tahun lalu, kerajaan negeri menerima lebih 1,000 rungutan daripada orang ramai termasuk pelancong yang kecewa kerana terkandas akibat kesesakan lalu lintas (Badrul Hizar Ab. Jabar, 2013).  Ada pengguna mendakwa untuk sampai ke bandar raya Melaka dari Plaza Tol Ayer Keroh memakan masa sehingga empat jam (Utusan Malaysia, 26 Jun 2013).  Keseriusan kerajaan negeri di dalam menangani masalah ini menyebabkan kepimpinan kerajaan negeri bertekad untuk membuka jalan di kawasan Jonker Walk kepada kenderaan sebagai alternatif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Banda Hilir (Utusan Malaysia, 1 Julai 2013).  Sebaliknya, usaha ini mendapat reaksi tidak puas di kalangan ramai peniaga Cina di situ kerana mereka beranggapan bahawa ianya merupakan arahan penutupan gerai-gerai cenderamata yang mereka usahakan (Melaka Hari Ini, 1 Julai 2013), lantas enggan memberi kerjasama bagi memberi laluan kepada kenderaan (Murali, 2013a).  Isu ini turut dimanipulasi oleh sesetengah pihak sehingga menyentuh hal-hal sensitif perkauman (Melaka Hari Ini, 1 Julai 2013) apabila pihak DAP yang dahulunya membantah projek Jonker Walk pada 2000, sekali lagi menentang kerajaan negeri kerana kononnya ingin membela nasib peniaga Cina kerana khuatir penutupan kawasan Jonker Walk akan menjejaskan rezeki peniaga-peniaga Cina (Murali, 2013b).  Perbalahan berkenaan isu ini telah menyebabkan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri Pelancongan dan Budaya mengingatkan agar Jonker Walk tidak ditukar kepada ‘Jonker Highway’ serta menggesa supaya ia tetap ditutup kepada lalulintas ketika aktiviti pasar malam (The Star, 28 Jun 2013).  Berhubung dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa penutupan kawasan tersebut akan menghalang pelawat mempelajari pelbagai budaya Malaysia, Helen Ang seorang blogger (helenang.wordpress.com) mempersoalkan sama ada kawasan Jonker Walk mempamerkan kekayaan pelbagai budaya Malaysia kerana kawasan tersebut lebih banyak menjual barangan tiruan dari China (Utusan Malaysia, 28 Jun 2013).  Hakikatnya, kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan perniagaan barangan cenderamata di Jonker Walk ditutup tetapi hanya membuat keputusan membuka jalan raya di sekitar kawasan itu kepada lalulintas pada setiap hujung minggu sebagai usaha mengatasi masalah trafik yang serius di sekitar Banda Hilir (Utusan Malaysia, 26 Jun 2013). 

Rujukan:
Badrul Hizar Ab. Jabar (2013, Julai 17).  Keputusan buka jalan jonker walk diteruskan.  Berita Harian.  Retrieved from tp://www.bharian.com.my/bharian/articles/KeputusanbukajalanJonkerWalkditeruskan/Article
Melaka Hari Ini (2013, Julai 1).  Isu Jonker Walk sengaja disensasikan pihak tidak bertanggungjawab. Melaka Hari Ini.  Retrieved from http://mhi.com.my/paper/2013/Julai/010713/index.html
Murali, R. S. N. (2013a, Ogos 6).  Jonker Walk trial extended.  The Star.  Retrieved from http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/08/06/Jonker-Walk-trial-extended.aspx

Murali, R. S. N. (2013b, Jun 30).  Jonker Walk panel slams DAP.  The Star.  Retrieved from http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/06/30/Jonker-Walk-panel-slams-DAP-Party-opposed-project-when-it-started-in-2000.aspx

The Star (2013, Jun 28).  Jonker Walk: Don’t turn it into Jonker Highway.  The Star Online.  Retrieved from http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/06/28/Jonker-Walk-Nazri-Aziz-says-keep-out-cars.aspx

Utusan Malaysia (2013, Jun 26).  Idris jelas kekeliruan Jonker Walk. .  Utusan Malaysia Online.  Retrieved from http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130626/dn_16/Idris-jelas-kekeliruan-Jonker-Walk#ixzz2h0KZUf2k

Utusan Malaysia (2013, Jun 28).  Antara Jonker Walk dengan bazar Ramadan.  Utusan Malaysia Online.  Retrieved from http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130628/re_06/Antara-Jonker-Walk-dengan-bazar-Ramadan.#ixzz2h0KJ76OH

Utusan Malaysia (2013, Julai 1).  Jonker Walk: Kerajaan negeri tidak akan berganjak.  Utusan Malaysia Online.  Retrieved from http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130701/dn_12/Jonker-Walk:-Kerajaan-negeri-tidak-akan-berganjak#ixzz2gSOy8jMA 



0 comments:

Post a Comment