15 Jun 2016
Sejak bulan Ramadhan ini,
saya melihat ada beberapa foto di facebook tentang kebuluran warga Ethiopia
yang menyayat hati, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Ianya memang menyedihkan. Lantas saya
terfikir kenapa Ethiopia jadi begitu.
Sejak krisis kebuluran di serata
Ethiopia 1983-1985, seluruh dunia mengenali Ethiopia dan ramai negara yang
membantu. (sebenarnya apabila saya klik google, kisah masalah Ethiopia sudah
sedia wujud semenjak kurun ke 9 lagi yang mana ketika itu kawasan tersebut
dilanda wabak. Wabak apa tak tahu la
pula saya, mungkin kena buat kajian sedikit).
Saya terus mencari punca
kebuluran di Ethiopia. Akhirnya saya
terjumpa satu laman web yang menerangkan perihal masalah di Ethiopia di pautan http://www.africaw.com/major-problems-facing-ethiopia-today
Saya telah terjemahkan teks
asal kepada Bahasa Melayu agar kita sama-sama dapat manfaat. Walaupun begitu, ada beberapa isi kandungan teks tersebut tidak dapat saya memberi kesahihan berkenaan dengan beberapa fakta yang
dinyatakan. Kena buat sedikit usaha
mencari sumber bagi menyokong beberapa perkara yang dinyatakan di
dalam teks.
Walaupun demikian,
sekurang-kurangnya penulisan ini memberi gambaran awal dan kefahaman yang jelas
berkenaan apa yang sebenarnya yang terjadi di Ethiopia sehingga ramai rakyatnya
kebuluran.
Semoga bermanfaat. hy
Terjemahan:
Ethiopia adalah negara kedua
paling ramai penduduk di seluruh benua Afrika dengan jumlah penduduk kira-kira
92 juta orang dengan kadar pertumbuhan sekitar 3.6%. Ethiopia berkongsi sempadan dengan negara Kenya di selatan, Eritrea di utara, Sudan di Barat dan Djibouti dan Somalia di Timur. Corak
sempadan sebegini menjadikan Ethiopia seolah-oleh terkepung dengan
negara-negara tersebut. Ethiopia
mempunyai jumlah keluasan tanah kira-kira 1,100,000 kilometer persegi.
Ethiopia mempunyai sumber
kekayaan semula jadi seperti emas, potash (bahan mineral yang mengandungi
potassium – saya sebenarnya tidak faham apa fungsinya, kemudian saya akan
kaji), gas semula jadi seperti metana, tembaga, platinum dan lain-lain.
Pada masa ini, beberapa
sektor ekonomi di Ethiopia semakin rancak membangun terutamanya dalam bidang
infrastruktur hasil daripada pelaburan China yang besar di bahagian Afrika dan
juga berkait rapat dengan projek-projek kerajaan yang bertujuan untuk mencapai
Matlamat Pembangunan Millenium bagi mencapai status negara berpendapatan
sederhana pada tahun 2025. Antara 2013
dan 2014, pertumbuhan KDNK Ethiopia adalah sekitar 10.6%. Jika dibandingkan dengan negara jiran, Kenya
meningkat hanya 4.8% dalam tempoh yang sama manakala Rwanda hanya 7.9%. Ini
adalah berita baik kepada pelabur dan menunjukkan Ethiopia mempunyai potensi
untuk pelaburan. Menurut penilaian terkini berkenaan tahap kemiskinan oleh
Kumpulan Bank Dunia, kemiskinan di Ethiopia jatuh dari 44% pada tahun 2000
kepada 30% pada tahun 2011.
Walaupun kadar itu jatuh, masih
lagi terdapat 37 juta penduduk di Ethiopia bergelumang dalam kemiskinan dan
mengikut statistik Bank Dunia, yang paling miskin di Ethiopia telah menjadi
lebih miskin dalam erti kata bahawa, harga makanan yang tinggi yang
meningkatkan pendapatan bagi ramai petani, memberi cabaran bagi golongan miskin di luar bandar untuk membeli makanan.
Ekonomi Ethiopia banyak bergantung
kepada pertanian (kira-kira 45% hingga 50% daripada KDNK). Oleh kerana itu, sektor tersebut terdedah kepada masalah kemarau berpanjangan dan bencana banjir. Kedua-dua keadan ini merupakan fenomena alam yang sering berlaku di Ethiopia lantas melumpuhkan keseluruhan ekonomi dan kesannya
menyebabkan kebuluran.
Buta huruf adalah satu lagi
sebab utama mengapa Ethiopia dihimpit kemiskinan. Pemimpin Ethiopia pada hari ini tidak banyak
memberikan perhatian kepada pendidikan. Ethiopia
mempunyai kadar buta huruf setinggi 49% dengan kadar celik huruf wanita
berlegar sekitar 41%. Ini menunjukkan
hanya kira-kira 41% daripada penduduk wanita berusia lebih 15 tahun boleh
membaca dan menulis.
Disebabkan oleh kemiskinan
dan kelaparan, kebanyakan kanak-kanak terpaksa berhenti sekolah. Ada juga kanak-kanak dipaksa kahwin, terlibat
sebagai buruh kanak-kanak, penyeludupan kanak-kanak dan terkini, pelacuran di
kalangan kanak-kanak. Kebanyakan kanak-kanak di Ethiopia juga terlibat di dalam
perniagaan kecil-kecilan terutamanya di sepanjang jalan-jalan utama
bandar-bandar besar seperti Addis Ababa (ibu negara Ethiopia yang mempunyai
penduduk kira-kira 5 juta orang), Dire Dawa, Adama atau Nazret, Gondar, Dese
atau Dessie, Mek 'ele, Jimma dan Bahir Dar.
Ethiopia juga mengeluarkan
hasil kopi dengan nilai eksport sekitar 400 juta dollar setahun. Namun, nilai tersebut adalah sangat rendah
berikutan harga pasaran antarabangsa yang merudum (saya mencelah: di sini saya tidak pasti
adakah kerana kopi dijual dengan harga yang murah di peringkat antarabangsa
ataupun ada pihak yang mengambil kesempatan membeli kopi dari Ethiopia dengan
harga yang murah). Justeru, keadaan ini
juga menyumbang kepada kegoyahan ekonomi Ethiopia.
Isu alam sekitar seperti
pencemaran air (akibat daripada sektor pertanian dan perindustrian), kemusnahan
tanah yang sering membawa kepada desertifikasi (proses
merosotkan alam sekitar, iaitu tanah subur menjadi tidak produktif seperti
gurun) dan kemarau teruk semakin
mengancam banyak nyawa di Ethiopia hari ini.
Tadbir urus yang kurang
cekap dan rasuah adalah masalah utama di kebanyakan negara di Afrika.
Kebanyakan ahli politik di Ethiopia pada hari ini terlibat dengan rasuah. Antara mereka juga ada yang tiada pengalaman
mentadbir negara. Tadbir urus yang
lemah, rasuah dan ketidakstabilan politik menyebabkan ramai pelabur lari meninggalkan
Ethiopia.
Tamat.
0 comments:
Post a Comment