Saturday, July 2, 2011

Lokasi Pulau Pandan dan Gunung Daik

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Rangkap pantun di atas sememangnya amat popular di kalangan pantun2 Melayu dan sejak kecil lagi kita sudah biasa mendengarnya bila menyanyikan lagu Rasa Sayang.  Semasa di sekolah rendah, bila cikgu suruh mengarang  pantun, maka pantun inilah yang biasanya saya karang selain pantun pisang emas tu.

Kebetulan tahun 2002 dahulu saya menghadiri satu pameran pelancongan di MITC Ayer Keroh tentang Pelancongan di Kepulauan Riau, maka secara tak langsung saya telah menemui maklumat berkenaan dengan lokasi Gunung Daik ini.  Namun tidak banyak maklumat saya perolehi daripada pegawai pelancongan Indonesia itu kerana mereka juga masih samar2 pengetahuannya tentang pulau ini kerana tidak pernah sampai ke sana, maklumlah Indonesia itu tersangatlah besarnya sih...

Sebab tidak puas hati, balik saja ke ofis, saya membuat sedikit carian maklumat tentang Gunung Daik ini.  Gunung Daik yang sememangnya bercabang tiga ini letaknya di Pulau Lingga di dalam rumpun Kepulauan Riau.  Jika kita lukis satu bulatan untuk Pulau Lingga, maka lokasi gunung ini berada di sebelah kiri bulatan tersebut.  Pulau Singkep berada di sebelah Pulau Lingga.  Kadang2 amat sukar untuk melihat adanya tiga cabang, bergantung kepada keadaan cuaca.  Kadang2 hanya dua cabang sahaja kelihatan.  Cabang2nya tidak sama tinggi.  Yang paling rendah dinamakan Cindai Menangis (inilah yang selalu tidak nampak, kerana diselubungi awan dan kabus), cabang tengah dinamakan Pejantan atau Pinjam Pinjaman dan yang paling tinggi adalah Daik.  Namun, sukar sampai ke puncak kerana struktur batuannya adalah rapuh dan cabangnya juga curam.  Kebanyakan pencinta alam hanya sampai di kaki gunung sahaja dan mendaki separuh perjalanan.. itupun sudah memadai.  

Manakala, Pulau Pandan pula teramat kecil sekali kita melihatnya di dalam peta dan sememangya ia jauh ke tengah laut.  Jika di peta, ada 4 kemungkinan Pulau Pandan yang orang2 dahulu kala maksudkan..

Pertama, versi Pulau Pandan yang  berada di kepulauan Batam.  Cuba teliti peta, di bawah sebelah kiri Pulau Batam, kita akan dapat melihat Pulau Tjombol.  Betul2 di bawah Pulau Tjombol itu, kita akan nampak Pulau Citlim.  Di sekitar Pulau Citlim itu, terdapat beberapa pulau kecil, seperti Pulau Seminjau, Pulau Resam dan Pulau Sabai (yang dilabel sebagai 3 star island).  Atas sedikit dari Pulau Seminjau itu kita akan nampak satu pulau yang sangat kecil yang dinamakan Pulau Pandan.  

Kedua, amat jelas kelihatan satu lagi Pulau Pandan yang berada di kiri Kalimantan Barat.  Jelas sekali kita dapat melihatnya kerana landmark yang jelas adalah Pulau Karimata.  Pulau Pandan berada di sebelah kanannya dan kelihatan teramat kecil dan memang jauh ke tengah.

Ketiga, Pulau Pandan yang terletak di sebelah Pulau Mindoro, Filipina.  Tetapi ini adalah tidak logik kerana lokasi Gunung Daik itu terlalu jauh.

Keempat, lokasi Pulau Pandan yang berada berdekatan dengan Pulau Lingga. Kecil saiznya, pantai berbatu, tidak berpenghuni. Biasa nelayan bot2 kecil berehat sebentar di sini.  Juga dijadikan tempat berlindung dari ribut.  Latar belakangnya boleh nampak Gunung Daik tapi dari jauh.

Jadi, saya membuat kesimpulan seandainya orang dahulu berperahu kemungkinan laluan sekitar kepulauan Lingga itu lebih logik.

Sesungguhnya saya tidak dapat pastikan yang mana satu orang2 tua zaman dahulu maksudkan sama ada Pulau Pandan di Kalimantan Barat ataupun di Kepulauan Riau ataupun yang di lokasi Filipina itu. Namun, saya mengandaikan ianya mungkin di Pulau Lingga.

Hurm saya perlu lagi mengkaji penentuan sah status lokasi pulau tersebut dengan rujukan jurnal dan catatan sejarah yang lebih mantap. 

Tetapi bagi yang sudah ekspedisi ke Daik, pasti mereka mengaitkan versi yang ke-4 yang sudah saya ceritakan.

0 comments:

Post a Comment