Monday, October 1, 2012

melayu oh melayu

kita setidak2nya pernah mendengar lagu 'warisan' itu atau ada yang juga suka menyanyikan lagu tersebut yang bermula baris pertamanya dengan 'anak kecil main api...' itu.

lagu ini adalah satu lagu yang cukup bersemangat dan asal tujuan ditulis lirik ini merujuk kepada melayu.

saya hanya suka kepada baris 'kita sudah tiada masa, majulah dengan maha perkasa......' dan 'akibat sengketa sesama lah kita, bumi dipijak milik orang'.

seperti anda yang biasa menyanyikannya beramai2 sewaktu mana2 kursus bina negara, ternyata di dalam setiap jiwa individu itu sangat kukuh dan bersemangat di dalam memahami elemen ketuanan melayu itu dan sudah kental jatidiri.  namun, setelah habis berkursus, ianya langsung terus pudar atau ianya dikira sebagai kenangan berkursus 5 hari, a time off taken from busy routine work.

sama juga perihalnya yang telah saya tuliskan di ruangan terdahulu iaitu melayu itu jiwanya sensitif. tapi sensitif membabi buta.  melayu kutuk melayu itu langsung tidak boleh. makna kata jika ada yang mengutuk sesama mereka, maka ianya menyemarakkan api walaupun apa yang dikata itu adalah benar.  dengan adanya elemen protokol adat, maka bertambah kompleks perilaku melayu itu. adat melayu mengajar kesantunan tapi di sebalik itu, melayu jugalah yang memecahkan tembok adat itu dan suka bergaduh.  ada juga yang suka menuduh dan memberi jatuh hukum sesuka hati tanpa usul periksa hanya kerana andaian tersendiri.  disangka pandangannya adalah benar, terkehadapan dan mengikuti keadaan semasa, tetapi realitinya, pandangan yang nyata dangkal hanya berasaskan monolithic thingking (own thinking). so what? hujah dan buktinya lemah. 

orang melayu itu juga ramai yang menganggap diri mereka cerdik, namun orang lain pula tidak melihatnya sebegitu rupa.  walaupun tulisan ini memberi tamparan hebat buat orang melayu, tapi sudah sedarkah orang melayu itu? adakah mereka masih berasa mamai seperti baru bangun tidur?

di bawah ini ada keratan yang diambil dari berita harian yang nyata dibaca oleh kebanyakan orang melayu di luar sana. then try to reflect on us.

*******************************************************************************

Kilas: Kemelayuan kita semakin terhakis

Berita Harian,  Rencana.  2012/09/26 - 06:44:05 AM Razak Rashid Ghows


Sajak bertajuk Bersatulah Melayu ciptaan Dr Lim Swee Tin membawa maksud sudah tiba masanya Melayu kembali bertaut walaupun mempunyai perjuangan politik masing-masing. Mesejnya boleh diterjemahkan dalam suasana menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 bahawa apa yang lebih penting ialah Melayu mesti memikirkan masa depan bangsa dan apa akan berlaku jika perpecahan itu tidak dibendung dan dibiarkan berlarutan.

Maka benarlah pepatah Melayu yang menyatakan ‘jangan retak mencari belah’ kerana apabila ini berlaku, maka tercetuslah perpecahan.

Sajak Swee Tin itu dideklamasikan seorang penduduk, Sarina Omar pada majlis sambutan Merdeka Raya anjuran Persatuan Penduduk Taman Changkat Desa/Melewar Fasa 2, Gombak, 16 September lalu.

"Bersatulah Melayu, Melayu itu cermin, Dalam jernihnya kita menilik, Kita menilik mencari wajah, Wajah Melayu wajah kita;" - Swee Tin

Swee Tin menarik perhatian kerana seruannya terhadap penyatuan Melayu, apatah lagi apabila dihasilkan oleh bukan Melayu.

Justeru apabila beliau menegaskan: "Bersatulah Melayu, Melayu itu cermin, Dalam jernihnya kita menilik, Kita menilik mencari wajah, Wajah Melayu wajah kita;" mesejnya membawa maksud yang begitu mendalam sekali apabila ia dipadankan dengan keadaan Melayu masa kini.

Ternyata perpecahan bukan hanya berlaku antara kaum tapi juga sesama Melayu sehingga kini wujud tiga kelompok terbesar dalam masyarakat berdasarkan sokongan politik.

Swee Tin mengakhiri nukilannya itu dengan menganjurkan supaya Melayu merintis jalan untuk bersatu semula.

Sebarang usaha untuk merintis perpaduan ini hendaklah disokong walaupun ideologi kepartian tidak sama. Apa gunanya kalau menang tapi kuasa dipegang pihak lain?

Sebenarnya usaha ke arah itu sudah beberapa kali dirintis pada pertemuan antara wakil UMNO dan PAS tapi gagal kerana halangan politik kepartian.

Penulis ingin memetik pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai nasib Melayu di negara jiran.

Katanya, di Singapura tidak ada lagi sekolah Melayu dan bahasa pengantar di sekolah ialah Inggeris dan Cina. Segala urusan rasmi dan tidak rasmi pula menggunakan bahasa Inggeris atau Cina, maka Melayu sudah tidak menggunakan bahasa Melayu.

Mereka menggunakan bahasa Inggeris walaupun ketika bercakap dengan anak, anggota keluarga dan kawan. Budaya, adat istiadat Melayu juga terhakis. Yang tinggal hanya agama Islam mereka.

Dr Mahathir berpendapat kemelayuan mereka sudah tinggal separuh. Kita boleh ramal yang hakisan kemelayuan mereka akan berterusan sehingga akan hilanglah Melayu di Singapura.

Di selatan Thai pula, kata bekas Perdana Menteri itu, orang keturunan Melayu tidak dapat bertutur kata dalam bahasa Melayu walaupun beragama Islam. Bahasa rasmi mereka ialah bahasa Thai. Maka hilanglah juga Melayu di situ.

Di Malaysia, tambah beliau, kehilangan Melayu juga sedang berlaku. Ada anak muda Melayu yang tidak lagi ingin dikenali sebagai orang Melayu. Mereka orang Malaysia. Ada pula yang hanya mengakui mereka orang Islam dan tidak perlu dikaitkan diri mereka dengan Melayu.

Walaupun Dr Mahathir tidak menyebutnya, penulis ingin mengimbas kenyataan seorang menteri beberapa tahun lalu yang mendabik dada dengan berkata beliau orang Malaysia dan lepas itu baru Melayu.

Malangnya sesiapa yang bercakap mengenai Melayu dituduh rasis menyebabkan orang Melayu tidak berani menyebut perkataan Melayu. Justeru, malulah Melayu sehingga terpaksa penyair Cina seperti Swee Tin mencipta sajak untuk mereka.

Hang Tuah pernah berkata ‘Tidak Melayu Hilang di Dunia’. Justeru, janganlah kerana perpecahan, ungkapan itu hanya tinggal kenangan.

Sampai bilakah Melayu harus bercakaran sesama sendiri? Sekiranya apa yang berlaku di sekeliling kita pun tidak dapat menyedarkan Melayu, entah apa lagi?

0 comments:

Post a Comment