Thursday, March 7, 2013

Pencerobohan pengganas di Lahad Datu

Rentetan Tanah Melayu ini mendapat ancaman semenjak zaman Portugis, Belanda, Jepun, British dan Komunis.  Malah sehingga sekarang juga Malaysia tidak pernah sunyi daripada beberapa anasir luaran yang menyampaikan dakyah dan hasutan kepada rakyat.  Anasir-anasir ini juga menyusup dan menyelinap ke dalam beberapa badan-badan bukan kerajaan dan juga parti politik agar objektif mereka tercapai di dalam menghuru-harakan negara.  Bila kehidupan rakyat sudah menjadi kacau bilau, barulah mereka keluar secara terang-terangan.  Ramai juga golongan barua atau tali barut ataupun juga dikenali sebagai pengintip yang dilantik sebagai mata dan telinga mereka.  Keadaan ini sungguh bahaya. 

Di sebalik rakyat Malaysia yang sedang leka di dalam soal-soal dunia, dalam masa yang sama pakar-pakar risik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sentiasa menghantar laporan rasmi kepada pihak kerajaan berkenaan dengan ancaman-ancaman yang berkemungkinan besar membawa bencana kepada negara.  Namun, hal sebegini adalah sulit dan tidak perlu diberitahu kepada rakyat.  Bagi mereka, rakyat itu berhak mengecapi hidup yang penuh kebahagiaan dan aman damai.

Bagi anggota keselamatan, benteng pertahananan negara adalah tertakluk kepada ATM manakala keselamatan di dalam negeri dipantau oleh PDRM.  Kedua-duanya adalah saling melengkapi.  Walaupun orang awam sebagai rakyat biasa itu hanya mengetahui bahawa Malaysia itu adalah aman damai, ianya adalah hasil usaha dan penat lelah pasukan keselamatan yang mengawal pertahanan negara siang dan malam sepanjang masa.  Itulah tugas murni mereka.  Ianya adalah tanggungjawab utama.

Apabila kedaulatan negara dicemari insiden berdarah di Lahad Datu, maka kita tiada jalan lain melainkan terpaksa mempertahankannya dengan apa cara sekalipun kerana pencerobohan pengganas ini adalah seumpama tindakan kurang ajar yang tidak boleh diterima akal sama sekali.  Adalah pantang bagi pasukan keselamatan apabila mendengar keamanan negara telah tergugat.  Berpantang maut sebelum ajal dan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir sentiasa tersemat di fikiran.  Tiada langsung wujud di kalangan anggota keselamatan itu untuk berfikir bahawa mereka dipaksa rela oleh pegawai atasan untuk berjuang.  Berjuang untuk negara dan terkorban di medan peperangan adalah merupakan resam utama malah ianya diimpikan oleh setiap individu pasukan keselamatan negara kerana matinya mereka adalah untuk negara, satu pengorbanan yang tidak sia-sia.  Mereka tidak mengharapkan sebarang jolokan perwira negara kerana itulah tugas mereka mempertahankan tanah air yang tercinta.

Namun, di sebalik peristiwa kesedihan yang menyelubungi rakyat Malaysia tentang pasukan keselamatan yang terbunuh di Lahad Datu dan Semporna, masih ada lagi beberapa individu yang sentiasa berprasangka buruk dan mengutuk kerajaan dengan pelbagai tohmahan.  Ianya perkara yang sepatutnya langsung tidak boleh berlaku.  Seharusnya kita patut berterima kasih kepada pihak kerajaan yang sentiasa mengambil serius tentang isu keselamatan negara.  Kita juga bersyukur kepada tuhan kerana sekarang sudah mula nampak sinar keamanan yang akan terbit di Sabah.  Sebolehnya kita sentiasa berdoa agar mana-mana pelusuk negeri di Malaysia ini sentiasa berada di dalam aman damai.

Dalam pada itu, kita juga dapat menyaksikan betapa selain daripada pasukan keselamatan, pihak media juga bertarung nyawa di dalam melaporkan berita-berita rasmi kepada rakyat.  Mereka juga berperanan sebagai lidah rasmi kerajaan dan sentiasa mengingatkan rakyat supaya tidak percaya kepada segala jenis dakyah dan cerita palsu.  Pasukan perubatan juga sentiasa di dalam keadaan siap siaga.  Pendek kata, dalam peristiwa Lahad Datu ini, betapa ramai pihak yang kita dapat lihat bergabung tenaga demi memastikan tanah air tercinta ini sentiasa terpelihara kedaulatannya.

Ingatan kepada pengadu domba yang selalu menebar fitnah dengan kata-kata yang tidak sepatutnya, maka mereka perlulah muhasabah diri terlebih dahulu.  Jika dianggap sudah berani mengeluarkan kata-kata, silalah berani tampil di bahagian pertahanan negara dengan sama-sama terlibat di dalam operasi memburu pengganas.  Setelah itu, barulah nilai semula antara realiti ataupun fantasi sandiwara kata-kata itu. 

Hentikanlah menaruh kepercayaan kepada segala berita palsu dan fitnah yang dilayang di media sosial dan khidmat pesanan ringkas kerana ianya bertujuan menghuru-harakan lagi keadaan dan percayalah ianya dibuat oleh tali barut pengganas yang punya agenda tertentu ke atas negara ini. Sedar dan bangkitlah.  Jangan percaya sebulat suara.  Berilah sokongan kepada kerajaan dan kita teruskan berdoa agar pasukan keselamatan kita sentiasa dilindungi tuhan di dalam menjalankan operasi.

0 comments:

Post a Comment