Friday, January 4, 2013

kompleksnya melayu itu

sejak kebelakangan ini saya semakin seronok membaca berita-berita politik samada daripada laporan barisan nasional, harakah, roket dan keadilan.  walaupun saya bukan belajar bidang sains politik, namun perbincangan seperti yang dilaporkan oleh parti masing-masing sangat menarik sehingga sukar untuk memberi pertimbangan mana satu yang betul, mana satu yang salah.  tiada lain ianya berkisar kepada pertembungan pandangan dan fahaman berbeza dengan hala tuju masing-masing antara komponen bn dan pakatan rakyat.  boleh juga dianggap retorik politik.
rakyat cuma mahukan kesejahteraan hidup dalam banyak perkara dan sejauh mana boleh dilaksanakan oleh pemerintah.  banyak orang melayu yang miskin, papa kedana, dari itu perlulah mengenalpasti mana satukah dia parti yang boleh membantu ramai orang-orang miskin.  orang-orang melayu juga paling ramai menghadapi masalah tidak memiliki rumah.  kadang-kadang tak masuk akal, di tengah-tengah lambakan masjid yang cantik dan mewah, mahu lagi dibina masjid bernilai ratusan juta.  molek sangat kalau duit itu dimanfaat untuk membantu orang miskin yang kebanyakannya melayu itu.  kadang-kadang bina pula monumen atau entah apa struktur yang mencecah jutaan ringgit sebagai lanskap menarik di kawasan bandar hanya untuk tontotan.  adakah ianya perlu? kita boleh salurkan dana itu untuk perkara kebajikan dan membantu rakyat yang lebih memerlukan.
pokoknya sejauh mana rakyat berpuas hati dengan tadbir urus pemerintah di negeri masing-masing.  ada yang langsung terus menjadi kaya.  ada yang masih lagi tiada perubahan dalam hidupnya walaupun telah mengundi. jadi, apakah ini yang berlaku.
saya lihat begitu ramai pendakwah yang wujud entah dari mana dalam lima tahun kebelakangan ini. ramai yang ingin jadi pendakwah. ramai pula yang dari golongan professional yang bukan dari aliran agama.  kalau dahulu kita lihat pendakwah di kalangan para lulusan agama.   sekarang, ianya sudah dari lain-lain aliran lulusan.  masing-masing sudah mula tunjuk minat. ianya bagus. cuma kena menepati persoalan antara pendakwah idealistik vs realistik atau pendakwah yang perlu guna pakai kedua-dua elemen tersebut.
perbicaraan dakwah di malaysia ini adalah di dalam ruang lingkup yang terbatas. kalau boleh diberi peluang kepada pendakwah berbicara tentang ketelusan dan kejujuran pemerintah dalam mentadbir negara:  bagaimana membuat rakyat sayang? itu lebih afdhal di tengah-tengah arus perdana yang mana rakyat dalam keadaan “ada aku kisah?” di sebalik lambakan bantuan untuk rakyat.  rakyat akan berkata begitu kerana itu sebenarnya hak mereka.  tentu saja mereka bersyukur. bukan kepada parti tersebut tetapi mereka bersyukur pada tuhan. 
di sebalik melayu tolong melayu dan ketuanan melayu dan hak istimewa orang melayu, entahlah, ada juga melayu yang menjadi kaya di atas kelemahan melayu yang lain.  ini namanya melayu kena main.  melayu tipu melayu pun ramai.  melayu juga memperbodohkan melayu yang lain.  ramai juga melayu yang berlagak pandai.  melayu itu berperangai sombong juga dengan kelebihan yang ada di kala orang melayu itu yang dipromosi sebagai lemah lembut berbudi bahasa. ramai juga melayu yang lupa asal usul. remaja melayu juga sudah hilang jati diri.  maka, apa sudah jadi pada orang melayu sekarang. 

saya suka meminjam kata-kata popular ridhuan tee, seorang pemerhati yang bukan bangsa melayu yang suka menganalisis percaturan kehidupan melayu iaitu lontaran renungan ‘nasib melayu di bumi melayu’.  mungkin saya berbeza sedikit pandangan tetapi tidak menidakkan pandangan beliau, bahawa saya tidak menyalahkan samada tuntutan masyarakat cina atau india di negara ini.  bagi saya, ianya hanyalah sekadar sisipan kelangsungan kehidupan negara malaysia yang berdaulat.

cuma orang-orang melayu yang menjadi tuan tanah di negara sendiri yang sudah boleh kita tanyakan arah hala tuju mana selepas ini ingin dipacu negara ini.  di sebalik mengutamakan etnik yang lain, masyarakat melayu yang progresif, berpendidikan tinggi dan tiada yang miskin adalah agenda berterusan yang perlu diperkasakan. 
pendakwah moden sekarang mesti menekankan perkara ini di sebalik dakwah dengan tajuk-tajuk rutin yang berulang-ulang yang sudah biasa didengari.  kadang kala kita juga membaca status mana-mana pendakwah ataupun mana-mana orang yang berminat nak berdakwah mengemaskini di facebook masing-masing.  kemudian ramai pula orang melayu yang tekan ‘like’ menyatakan suka dan sokong kepada pernyataan itu, walhal ianya tiada satu pun yang mencambahkan fikiran melayu itu. 
kerana apa? kerana kenyataan itu hanya bersifat umum dan sudah diketahui, didengari di mana-mana selama bertahun-tahun kehidupan sejak dari pendidikan sekolah rendah.  adakah perkara yang selalu kita ingat dan sudah kita faham maksudnya boleh memberi kecerdikan kepada pemikiran melayu? di sebalik menjadi pendakwah popular, semua peringkat daripada akar umbi tidak kira ibu bapa, guru-guru dan orang ramai seharusnya berterusan menyampaikan dakwah memperkasa dan memartabatkan orang melayu dengan meminggirkan semua kecelaruan yang boleh menjahanamkan bangsa melayu itu sendiri. 
walaupun kedengaran agak chauvinist dan ethnocentrism, saya bersetuju ke atas dua perkara itu. malah, etnik yang lain juga berperanan sedemikian. perbincangan kedua-dua elemen itu tidak penting, yang penting adalah melahirkan lebih ramai cerdik pandai ilmuwan melayu islam yang jujur dan ikhlas yang berperanan membantu memperkasakan bangsa melayu itu sendiri dengan memastikan kerukunan hidup dengan kaum yang lain.

0 comments:

Post a Comment